Friday 6 March 2009

MotiVasi BeLajar Osman Affan

Apabila kita merasa tidak yakin diri atau lemah semangat, kadangkala agak sukar untuk kita mengimbas kembali saat-saat gembira atau saat-saat di zaman kegemilangan kita di masa lepas. Ini kerana fikiran kita terlalu tertumpu kepada situasi sekarang dan kita seolah-olah tidak mampu melepaskan diri. Ini juga selalu menyebabkan kita merungut yang kita tidak ada saat-saat gembira atau saat-saat gemilang di masa lepas. Saya percaya ini tidak benar.

Namun, jika ada yang masih percaya itu semua benar (bahawa mereka tidak ada kenangan gembira atau kejayaan di masa lepas), apa yang boleh dilakukan? Saya cadangkan begini. Jika kita rasa kita tidak ada kenangan yang boleh menaikkan semangat diri untuk merasa yakin, kita boleh cipta sendiri satu kenangan baru. Apa maksud saya?

Kenangan manis atau saat kegemilangan di masa lalu sebenarnya hanyalah satu imej yang dimainkan di dalam minda kita. Apabila kita teringat kenangan yang indah, kita kadang-kadang tersenyum dan ketawa sendirian walaupun itu tidak berlaku sekarang. Apa yang perlu kita tahu ialah minda kita sebenarnya tidak boleh bezakan sama ada apa yang kita kenang itu perkara yang benar atau rekaan imaginasi sahaja. Maksud saya, bila kita cipta/reka satu kenangan kejayaan di masa lepas di dalam minda, minda kita tidak tahu yang ia hanyalah satu imaginasi dan tidak pernah berlaku. Jadi, walaupun ia hanya imaginasi, minda kita boleh memberi arahan kepada tubuh kita untuk ketawa, senyum atau menangis disebabkan imaginasi itu. Hebat bukan?

Ini bermakna, apabila kita bayangkan yang kita seorang yang hebat dan petah berkata-kata di masa lepas, minda kita akan beri arahan kepada seluruh tubuh kita agar berkelakuan, bergerak, berkata-kata seperti seorang yang betul-betul hebat dan petah berkata-kata. Kesannya kita akan menjadi yakin dan benar-benar percaya kita boleh menjadi hebat dan petah berkata-kata. Namun kita perlu ingat, yakin dan boleh buat adalah dua perkara berbeza. Ada orang yakin untuk bercakap dikhalayak ramai tetapi tidak boleh bercakap dengan baik. Ada orang yakin boleh menendang bola tetapi menendang seperti kayu memukul bola. Keyakinan perlu diikuti latihan susulan. Apabila kita yakin dan berlatih, kta lebih mudah menguasai sesuatu ilmu.

Jadi hari ini, fikirkan apa kenangan kehebatan di masa lepas yang ingin anda cipta atau reka? Keyakinan diri untuk apa yang anda mahukan. Seterusnya nanti saya akan terangkan apa yang perlu dilakukan bagi melatih keyakinan diri yang baru menggunakan imaginasi kejayaan di masa lepas ini.

Selamat mencuba.

0 comments: